Friday, April 10, 2009

Wacana Wanita & Keadilan Syariah


KUALA LUMPUR, Khamis 26 Mac - Program Wacana Wanita dan Keadilan Syariah telah pun berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Hadhari, Pusat Islam Malaysia
Wacana ini dirasmikan oleh Penolong Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada jam 8.30 pagi.
Kemudian, ia diteruskan pula dengan ucaptama yang bertajuk "Keadilan dan Kesaksamaan dalam Kehidupan Berkeluarga menurut Perspektif Syariah".
Ia disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Hj. Siraj, Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), atau nama lainnya Wanita JIM.
Ia kemudiannya diikuti dengan pembentangan dua buah kertas kerja.
Tajuk kertas kerja pertama ialah "Huraian Al-Quran tentang Nusyuz Suami dan Isteri: Pengertian dan Penyelesaian".
Ia dibentangkan oleh Ustaz Alias Othman yang merupakan Pensyarah Pengajian Islam di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS). Beliau juga merupakan bekas pensyarah di Universiti Malaya.
Antara perkara penting yang disentuh ialah tentang wujudnya Nusyuz Suami yang berdiri sama taraf di sebelah Nusyuz Isteri.
Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa sandaran dari syara'.
Yang jelas, para peserta diberi kefahaman yang menyeluruh dan mendalam berkenaan nusyuz dan pengertiannya dari sudut syara' serta aplikasi yang sepatutnya berlandaskan syara'.
Ini bermakna nusyuz boleh berlaku ke atas lelaki seperti mana ia boleh berlaku ke atas wanita. Dalam erti kata lain, siapa tidak menjalankan tugas, maka nusyuzlah dia tanpa mengira jantina.
Kertas kerja kedua pula disampaikan oleh Puan Sazira Abdul Aziz, seorang Peguambela, Peguamcara & Peguam Syar'ie.
Kerta kerja yang dibentangkan oleh beliau yang bertajuk "Penambahbaikan Implementasi Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia: Satu Tuntutan" itu menyentuh kepada kepentingan dan perlunya disegerakan penambahbaikan prosedur dalam sistem perundangan Syariah di Malaysia.
Ini supaya Mahkamah Syariah dan Islam itu sendiri tampak kredibel, dihormati dan dilayan sama taraf dengan mahkamah sivil seperti yang sepatutnya.
Wacana ini diakhiri dengan rumusan oleh Puan Hjh. Faridah Maludin yang merupakan Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (PAKSI-JIM) pada jam 1.30 tengahari.
Wacana kali ini adalah anjuran bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).